Tuesday, May 26, 2015
Mantapkan mata pelajaran Sejarah asas patriotisme
Oleh DR. AMINUDIN
MANSOR
Para pelajar kebanyakannya belajar mata
pelajaran Sejarah secara menghafal fakta hanya untuk lulus peperiksaan tanpa
menghayatinya. - Gambar Hiasan
USAHA
harus dilakukan untuk memantapkan lagi mata pelajaran sejarah di peringkat
sekolah menengah bagi mengukuhkan semangat patriotisme dalam kalangan pelajar.
Sejarah harus difahami, dihayati dan bukan dihafal atau mengingat fakta.
Mempelajari
sejarah bangsa dan negara adalah teras kepada pembentukan jati diri dan asas
kepada patriotisme serta cintakan negara. Pada bulan kemerdekaan ini, isu
berkaitan sejarah sewajarnya menjadi perkara penting untuk diingati.
Tinjauan
penulis, banyak faktor yang menyebabkan pelajar di peringkat sekolah menengah
tidak berminat mempelajari sejarah. Menurut seorang guru Sejarah yang
berpengalaman mengajar subjek itu selama 25 tahun mengatakan antara faktor
tersebut adalah;
Pertama,
pelajar belajar sejarah menghayati dan memahami jalur sejarah bangsa dan
negara. Mereka belajar berkaitan tokoh yang sudah meninggal dunia dan pelajar
tidak mengenali mereka.
Kedua,
mereka sering bertanya, apabila lepas sekolah kerja apakah yang mereka boleh
dapat melalui belajar sejarah? Adakah dapat menjamin untuk menjadi pakar
Sejarah atau pakar Arkeologi berbanding mata pelajaran lain seperti Sains dan
Matematik yang menjanjikan peluang pekerjaan yang lebih baik.
Ketiga,
banyak perkara yang terpaksa dibaca dan dihafal sebagai contoh, tingkatan satu
ada 8 bab, tingkatan dua, ada 10 bab, tingkatan tiga, ada 7 bab, tingkatan
empat ada 10 bab dan tingkatan lima ada 9 bab. Jumlah bab ialah 44 bab.
Keempat,
semasa di tingkatan satu hingga tiga ada projek atau folio yang terpaksa dibuat
oleh pelajar sedangkan markah tidak dikira dalam peperiksaan Penilaian Menengah
Rendah (PMR). Sekurang-kurangnya berikan markah sebanyak 10 markah.
Kelima,
tingkatan empat dan lima tiada projek atau folio. Pelajar terpaksa membaca dan
menghafal 19 bab sedangkan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),
hanya dua soalan yang perlu dijawab oleh pelajar.
Sementara
menurut beberapa pelajar ketika ditanya tentang subjek Sejarah, kebanyakan
pelajar tidak minat belajar sejarah disebabkan beberapa faktor. Antaranya
adalah;
Pelajar
sukar untuk mengingat fakta yang banyak, fakta yang diajar kurang diminati.
Buku teks tidak menarik dibaca menyebabkan sukar untuk diingati. Subjek Sejarah
hanya memerlukan kekuatan ingatan pelajar.
Menurut
mereka antara faktor lain adalah cara pengajaran dan pembelajaran (P&P)
guru Sejarah tidak membantu untuk pelajar mengingati fakta. Fakta yang diingati
tidak digunakan dalam kehidupan masyarakat. Pelajar merasakan subjek sejarah
membosankan dan membuang masa.
Selain
itu, kebanyakan pelajar tidak minat dalam Sejarah kerana mereka tidak
mengetahui manfaat mempelajarinya. Bahan P&P tidak menarik dan membosankan.
Pelajar berasa dipaksa mempelajarinya kerana subjek teras. Mereka juga
mengambil masa terlalu lama untuk mempelajarinya.
Beberapa
cadangan diberikan antaranya, menggubal semula sukatan pelajaran Sejarah sedia
ada. Kaedah, teknik dan pendekatan yang lebih sesuai terkini dan mudah difahami
oleh pelajar melalui P&P Sejarah.
Sebelum
Subjek sejarah diajar di tingkatan satu, guru sejarah mestilah menekankan
kepentingan sejarah sebagai ilmu yang dapat memperkukuhkan jati diri, akar
bangsa dan semangat patriotisme. Selain itu, buku teks baharu yang lebih
menarik dengan pelbagai gambar, keterangan dan peristiwa penting.
Buku teks
Sejarah yang berwarna dan menggunakan point form fakta-fakta penting dan bukan
dalam bentuk karangan yang membosankan. Buku-buku sejarah atau novel yang
bersifat kreatif seperti menceritakan detik-detik kemerdekaan, para pejuang
kemerdekaan patut diterbitkan lebih banyak.
Guru
Sejarah diberi kursus untuk teknik pengajaran kerana P&P guru Sejarah
kurang berkesan memberikan penghayatan dan pemahaman sejarah tanah air kepada
para pelajar. Setiap guru mestilah menggunakan pelbagai kaedah seperti aplikasi
teknologi maklumat (IT) dan P&P terkini seperti kaedah multimedia dalam
pendidikan yang menggabungkan teks, kesan bunyi, vokal, muzik, filem, animasi,
video berserta perisian komputer yang interaktif.
Proses
P&P akan menjadi lebih menarik, iaitu interaktif antara guru dan murid, interaktif
guru dengan bahan pengajaran, interaktif murid dengan bahan pengajaran dan
interaktif murid dengan murid. Sesekali lakukan interaktif tokoh sejarah dengan
murid di sekolah.
Subjek
sejarah boleh dimulakan di peringkat sekolah rendah iaitu pada tahun tiga,
empat, lima dan enam serta dimasukkan dalam peperiksaan Ujian Penilaian dan
Pentaksiran tahun enam pada masa akan datang.
Menurut
Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pendidikan, pihak kementerian memang
bertegas menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai teras dan wajib dipelajari
oleh pelajar secara berterusan bermula dari tingkatan satu hingga lima pada
peringkat sekolah menengah. Kini mata pelajaran Sejarah adalah mata pelajaran
wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Kurikulum
sejarah dilaksanakan di sekolah ketika ini digubal dengan memberi penekanan
kurikulum sejarah pada peringkat sekolah menengah rendah. Ia mestilah mempunyai
kesinambungannya pada peringkat sekolah menengah atas supaya asas pengetahuan,
nilai patriotisme, kemahiran sejarah dan pengalaman yang diperoleh dapat
diperkukuh lagi.
Justeru,
Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) menegaskan kesepaduan unsur pengetahuan,
peningkatan daya intelek, pemupukan nilai murni dan perkembangan kemahiran
belajar. Sehubungan itu, kurikulum Sejarah yang sedang dilaksanakan ketika ini,
diberikan penekanan berasaskan kesepaduan dan kesinambungan.
Di
samping pengetahuan sejarah, konsep dan kemahiran asas disiplin sejarah seperti
pemikiran sejarah dan unsur patriotisme diperkukuh dalam proses P&P. Dalam
usaha melahirkan generasi yang dapat memenuhi matlamat dan aspirasi negara,
pendekatan P&P Sejarah menjurus kepada pemupukan pemikiran sejarah di
kalangan pelajar di samping kandungan kurikulum sejarah.
Apa yang
paling penting pelajar dapat menghayati dan memahami jalur sejarah bangsa dan
negara sebagai asas membina jati diri, ke arah pembinaan negara bangsa dan
semangat patriotisme.
PENULIS
pengamal media dan bekas pendidik
cemerlang.
PhD Persuratan Melayu, UKM.
0 comments:
Post a Comment